gravatar

Ika Peserta Kedua AF6 Tersingkir

PETALING JAYA 29 Mac – Konsert kedua Akademi Fantasia musim keenam (AF6) malam ini menyaksikan giliran Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim menjadi pelajar kedua disingkirkan daripada program realiti popular tanah air itu.

Penyingkiran Ika diumumkan oleh pengacaranya, AC Mizal selepas menerima jumlah undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah berbanding 12 peserta lain.

Pada konsert yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBBJ) di sini, Ika mendendangkan lagu Malu Tapi Mahu nyanyian Dina.

Penyingkiran peserta yang berasal dari Pulau Pinang itu meninggalkan 12 lagi rakannya untuk meneruskan pembelajaran dalam akademi itu.

Sebelum ini, Yana atau nama sebenarnya Marliyana Binti Omar Walid, 24, menjadi pelajar pertama yang tersingkir pada konsert pertama minggu lepas.

Dengan penyingkiran Yana dan Ika itu, konsert minggu ketiga nanti bakal menampilkan 12 peserta iaitu Mohamad Aliff Mohd. Razali, 22, Muhammad Faisal Abdullah, 21, Lutfyah Sheikh Omar, 23, Muhammad Shauqi Naaim Salmi, 20, Ahmad Nubhan Ahmad , 22, Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, Siti Norsaida Tarudin, 32, Nadia Haswani Hasnan, 18, Stracie Angie Anam,18, Stanley Maringai David Impi, 25, Khairul Nizam Baharom, 31, dan Hairina Abd Halim, 44.

Malam ini tempat Fauziah Datuk Ahmad Daud digantikan oleh Adlin Aman Ramli selain Ning Baizura bertindak sebagai pengkritik tetap dan ditemani oleh Aidit Alfian selaku pengkritik undangan.

Powered by Utusan Malaysia